Saturday, July 28, 2012

Juadah Istimewa


Juadah Istimewa!

Kami hanya berempat.

Berada di bumi asing.

Tak faham apa yang orang cakap dan orang pun tak tau apa yang kami mahu. Di bulan Ramadan pula.

Sahur pertama di stalovaya (dewan makan). Saya hanya mampu melihat sahaja makanan tersebut. Tak tahu apa namanya, tapi rasanya memang tak boleh pergi!

Hari-hari berikutnya kami bersahurkan buah-buahan sahaja. Buah epal, anggur, pear, tembikai dan rock melon. Untuk berbuka puasa pula, kami hanya makan plov (nasi bukhara) dan somsa yang kami beli dari kedai sewaktu pulang dari kuliah.

Sesekali berbuka di rumah sahabat berbangsa Uzbek yang baru kami kenal melalui Syeikh Hussin, Nariman, Mokhsen dan Zabihullah.



Bertamu di rumah kenalan Uzbek, mereka akan menghidangkan ‘juadah istimewa’, plov kambing! Tetapi pada waktu itu saya memang tak boleh makan kambing. Rasa dan baunya memang memadamkan selera saya, walaupun dalam keadaan lapar.  Plov yang biasa kami beli di bazar berlaukkan daging lembu.

Rumah pertama yang kami ziarah di Uzbekistan ialah rumah Pakcik Nariman.

Untuk menghabiskan semangkuk plov kambing pun saya berasa amat tersiksa.
“Ana tak lalu makan, syeikh”
“Anta jangan tak habiskan, nanti tuan rumah terasa tak dihargai,” Kata Syeikh Hussin yang  menguruskan kemasukan kami ke Uzbekistan.
Setelah memaksa diri, akhirnya saya berjaya juga  menghabiskan plov  tersebut!
“Alhamdulillah,”

Bila melihatkan mangkuk saya sudah kosong, Pakcik Nariman tanpa berlengah menyendukkan lagi plov ke dalam mangkuk saya. Saya cuba menghalang tapi nak bercakap pun tak boleh lagi… Rupa-rupanya kalau dah tak nak, kena terbalikkan mangkuk tu, selagi tak terbalik selagi itulah ditambah plov ke dalam mangkuk  kita!

Tapi itu cerita 18 tahun dulu. Sekarang, yang berkambing itulah yang jadi buruan!

No comments:

Post a Comment