Saturday, July 28, 2012

Juadah Istimewa


Juadah Istimewa!

Kami hanya berempat.

Berada di bumi asing.

Tak faham apa yang orang cakap dan orang pun tak tau apa yang kami mahu. Di bulan Ramadan pula.

Sahur pertama di stalovaya (dewan makan). Saya hanya mampu melihat sahaja makanan tersebut. Tak tahu apa namanya, tapi rasanya memang tak boleh pergi!

Hari-hari berikutnya kami bersahurkan buah-buahan sahaja. Buah epal, anggur, pear, tembikai dan rock melon. Untuk berbuka puasa pula, kami hanya makan plov (nasi bukhara) dan somsa yang kami beli dari kedai sewaktu pulang dari kuliah.

Sesekali berbuka di rumah sahabat berbangsa Uzbek yang baru kami kenal melalui Syeikh Hussin, Nariman, Mokhsen dan Zabihullah.



Bertamu di rumah kenalan Uzbek, mereka akan menghidangkan ‘juadah istimewa’, plov kambing! Tetapi pada waktu itu saya memang tak boleh makan kambing. Rasa dan baunya memang memadamkan selera saya, walaupun dalam keadaan lapar.  Plov yang biasa kami beli di bazar berlaukkan daging lembu.

Rumah pertama yang kami ziarah di Uzbekistan ialah rumah Pakcik Nariman.

Untuk menghabiskan semangkuk plov kambing pun saya berasa amat tersiksa.
“Ana tak lalu makan, syeikh”
“Anta jangan tak habiskan, nanti tuan rumah terasa tak dihargai,” Kata Syeikh Hussin yang  menguruskan kemasukan kami ke Uzbekistan.
Setelah memaksa diri, akhirnya saya berjaya juga  menghabiskan plov  tersebut!
“Alhamdulillah,”

Bila melihatkan mangkuk saya sudah kosong, Pakcik Nariman tanpa berlengah menyendukkan lagi plov ke dalam mangkuk saya. Saya cuba menghalang tapi nak bercakap pun tak boleh lagi… Rupa-rupanya kalau dah tak nak, kena terbalikkan mangkuk tu, selagi tak terbalik selagi itulah ditambah plov ke dalam mangkuk  kita!

Tapi itu cerita 18 tahun dulu. Sekarang, yang berkambing itulah yang jadi buruan!

Monday, July 9, 2012

Kuda? Atkuda?




Setibanya kami di Tashkent, musim sejuk sudah berada di penghujungnya, namun dinginnya masih terasa hingga  ke tulang.  Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang menuju ke Hostel,  kelihatan pohon-pohon yang hanya beranting tanpa daun kaku berbaris di tepian jalan. Satu demi satu lorong dan jalan yang kami lalui. Kelihatannya sama sahaja dengan papan tanda yang tidak difahami tulisannya. Inilah jalan-jalan yang akan kami dilalui setiap hari nanti.


Pemandu van yang membawa kami cuba berbual dengan kami, namun kami saling tidak memahami! Haris yang terkenal peramah cuba juga memahami apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut... 
"Kuda... Atkuda?" itu yang saya dapat tangkap perkataan yang disoal.
"Where are you going... Where you're from"  Saudara Mohsen pelajar dari Uzbek State World Language Universitu (USWLU) yang menyambut kedatangan kami cuba menjadi penterjemah...
Setibanya di Obsyiziti (Asrama) kami cepat-cepat mengangkat barang-barang naik, lari dari kedinginan musim sejuk! Badan sudah letih setelah 7 jam berada di dalam pesawat. Kami tak sabar nak berehat.
Wah bahagianya rasa dapat meluruskan tulang belakang di atas katil walaupun tak berapa empuk... Alhamdulillah.
Tiba-tiba pintu bilik kami diketuk bertalu-talu... Apabila dibuka sekumpulan gadis berbangsa Rusia berada di luar "Sigaret Yes?" tanya salah seorang dari mereka... 
"Sigaret?" kami terpinga-pinga. Mendengar soalan kami, sekumpulan gadis tadi terus ketawa... Apa yang mereka hajatkan?

Friday, July 6, 2012

Yakhsye me sez?

 
Tanggal 26 Februari 1993, saya bersama 3 sahabat, Haris Fadilah, Mujibullah dan Hairul Anuar Tamrin menjejakkan kaki ke bumi Uzbekistan. Pesawat yang kami gunakan ialah pesawat buatan Russia milik Uzbek Air. Ketika itu saya tak dapat membuat perbandingan dengan pesawat Boeing ataupun Airbus kerana ini adalah kali pertama saya menaiki pesawat.
Perasaan? Bercampur campur... Teruja, sedih dan berdebar-debar...

Kami meninggalkan Malaysia ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Puasa di bulan Ramadan. Rasanya baru 3 atau 4 hari. Maknanya tahun ini kami akan berhari raya di perantauan. Sebuah negara yang baru sahaja merdeka. setelah lebih 90 tahun bersama kesatuan Soviet yang berfahaman komunis!

Sewaktu mula menjejakkan kaki di bumi ini, kami memang tidak mengetahui walaupun sepatah perkataan dalam bahasa Uzbek atau Russian. Dan bahasa Inggeris kami pula amat terhad kerana kami dari sekolah aliran agama dan lebih memahami Bahasa Arab! Manakala penduduk di sini pula hanya mampu bertutur dalam bahasa Uzbek dan Rusia... Hmmm memang merumitkan...

Di Tashkent nanti kami akan mengambil kursus bahasa Russia di The Uzbek State World Languages University. 

Mungkin ada yang akan bertanya, mengapa memilih untuk belajar di Uzbek? Siapa yang hantar? Siapa yang taja? Dan bermacam-macam soalan lagi. Saya tidak akan menjawab soalan ini. Biarlah rahsia buat yang tak tahu dan yang dah tahu, rahsiakanlah...